Sunday, October 26, 2008

kisah-kisah persahabatan

erti sebuah persahabatan

Hari ini hari Sabtu. Biasanya Ah Chong, Siva dan Mukmin akan berkumpul di padang kawasan perumahan itu untuk bermain bola. Tepat jam 10.00 pagi pasti mereka berkumpul di tepi padang permainan itu. Namun, hari ini Mukmin dan Siva menanti dengan keluh kesah. Sudah hampir pukul 11.00 pagi, tetapi bayang Ah Chong tetap tidak kelihatan. Siva mula resah. Dia mundar mandir seperti kucing kehilangan anak. Mukmin pula termenung membelek bola yang dibawa sambil duduk mencangkung di atas padang. "Eh, mana dia ni? Biasanya tak lewat macam ni" kata Mukmin memecah kesunyian. "Saya pun hairanlah. Selalunya Ah Chong orang paling awal sampai" jawab Siva. "Ya. Ingat tak pernah sekali dulu, kita usik dia. Kita menyorok belakang pokok tu. Dia tunggu kita dengan penuh sabar. Kita perhati saja dia dari jauh" mereka berdua ketawa terbahak-bahak. "eh, entah-entah dia pula kenakan kita tak?" tanya Siva. "Jom kita tengok belakang pokok tu, kalau-kalau dia menyorok di situ" kata Mukmin sambil berlari ke arah pokok jati besar di tepi kiri kanan padang, sambil diikuti oleh Siva.

Setelah tiba di bawah pokok yang rendang itu mereka melihat sekelilingnya, tetapi harnpa kerana bayang Ah Chong tetap tidak kelihatan."Siva. jangan-jangan Ah Chong sakit kepala lagi tak?" kata Mukmin mengingati kejadian yang berlaku dua minggu lalu apabila Ah Chong tiba-tiba minta diri pulang ke rumah kerana sakit kepala. "Tak mungkin sampai tak bangun pula" kata Siva. "Semalam saya jumpa dia di sekolah, elok saja. Cuma dia tak berapa nak tegur saya." tambahnya sambil menggaruk kepala."Marilah kita ke rumah dia. Mungkin sesuatu telah menimpanya" kata Siva dengan air muka yang penuh ragu. Mereka bergerak meninggalkan padang permainan, menuju rumah Ah Chong yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ.

Mukmin dan Siva mengetuk-ngetuk pintu pagar rumah teres dua tingkat berwarna putih itu beberapa kali. Namun, tiada kelihatan sesiapa menjenguk dari dalam. Rumah itu kelihatan sunyi dan semua pintu berkunci dari luar. Mereka kebingungan. "Agaknya dia balik kampung tak?" kata Siva. "Tak mungkin dia balik kampung lagi. Minggu lepas kan dia balik kampung, berjumpa nenek dan datuk dia" tegas Mukmin. "Ya tak ya juga" jawab Siva sambil menggaruk kepala lagi. "Hei, mana dia pergi ni. Semua orang tak ada di rumah". Rungut Siva. "Kita balik sajalah. Mari pergi rumah saya kita main video game saja" kata Mukmin.

Ketika mereka berpaling untuk meninggalkan rumah itu, tiba-tiba terdengar suara memanggil. "Siva, Mukmin, kamu cari Ah Chong ke?" kata Makcik Minah jiran keluarga Ah Chong. Kelihatan dia berjalan ke arah pagar rumah sambil membetulkan selendang. Melihat makcik Minah dipagar mereka terus merapatinya. "Ya, Makcik kami cari Ah Chong. Ke mana mereka pergi. Semua tiada di rumah?" tanya Mukmin sambil menghulurkan tangan bersalaman dengan Makcik Minah. "Kamu berdua tak tahu ke? Awal pagi tadi Ah Chong dihantar ke hospital. Kata ibunya sakit kepalanya makin teruk?" Mukmin dan Siva berpandangan dengan wajah yang sedikit pucat. "Hospital mana?" Siva menyampuk. "Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia" kata Makcik Minah. "Tak apalah makcik, kami nak tengok dia di sana. Terima kasih ya." kata Mukmin sambil menarik tangan Siva berlalu dari situ. "Macam mana ni. Macam mana nak pergi tengok dia?" kata Siva dengan air muka yang sedih. "Kita minta ayah saya hantar. Dia ada di rumah sekarang" kata Mukmin. "Marilah kita pergi sekarang" sambungnya lagi. Mereka berdua bergerak pantas seperti lipas kudung. Kaki mereka bagai tak jejak di tanah. Mereka perlu pergi segera melihat apa sebenarnya yang berlaku kepada rakan karib mereka itu.

Tiba di rumah Mukmin, Siva menelefon ibunya untuk meminta izin mengikut Mukmin dan bapanya ke hospital. Suaranya agak tersekat-sekat kerana terharu dengan berita yang baru diterima itu. Mukmin memegang bahu Siva dan menganggukkan kepalanya tanda telah sedia untuk pergi. Ibu Mukmin menghulurkan beg plastik berisi buah-buahan kepada Mukmin."Ini ada sedikit buah tangan untuk Ah Chong" kata ibunya. Mukmin mengambilnya sambil mengangguk kepala dan berlalu bersama Siva mengekori ayah Mukmin ke kereta di luar rumah. Sepanjang perjalanan itu, mereka berdua berdiam diri tanpa sepatah suarapun. Masing-masing melayan perasaan. Bimbang tentang keadaan rakan karib yang baik itu. Ah Chong tidak pernah bercerita tentang penyakitnya. Dia juga kelihatan ceria selalu. Cuma sekali sekala dia akan pulang segera kalau kepalanya sakit. Pernah sekali pada tahun lepas, keluarganya membawa Ah Chong berubat di London. Ah Chong tidak pula menceritakan tentang perubatan tersebut. Tetapi dia kelihatan sedikit kurus daripada biasa. Dia juga kurang cergas daripada dulu.

Tanpa disedari mereka telah sampai di hospital. Bapa Mukmin bertanyakan sesuatu di kaunter pertanyaan dan kemudian bergerak ke lif. Mukmin dan Siva mengikut dari belakang bagai itik pulang petang. Mereka naik ke tingkat tujuh. Mukmin membaca tulisan di atas pintu sebe-lah kanan di mana tempat ditujui. Dia terkejut apabila membaca. "Wad barah lelaki" mereka berdua berpandangan penuh kesayuan. Beberapa katil pesakit dilalui dan tiba di meja jururawat bertugas. Bapa Mukmin bertanyakan nama Ah Chong dan mereka menunjukkan arah bilik dibahagian hujung wad itu. Mukmin dan Siva melangkah perlahan menuju ke bilik tersebut. Mereka melihat wajah ibu bapa Ah Chong yang muram dan matanya agak bengkak kerana menangis. Kelihatan adik Ah Chong yang baru berusia empat tahun sedang tidur di kerusi malas di tepi dinding. Bapa Mukmin bersalaman dengan bapa Ah Chong dan membisikkan sesuatu yang tidak begitu kedengaran dengan jelas. Ibu Ah Chong meluru ke arah Mukmin dan Siva sambil memeluk mereka dan menangis dengan kuat. "Mukmin, Siva, Ah Chong sakit tenat. Pagi tadi jam 2 dia tak sedar diri sampai sekarang." katanya sambil menangis teresak-esak. Mukmin dan Siva tidak dapat menahan sebak di dada dan terus menangis sama. Mereka berdua bergerak perlahan ke arah katil Ah Chong.

Mereka mula menangis teresak-esak dan berpelukan. " Ah Chong saya Mukmin datang tengok awak, Siva pun ada di sini. Maafkan kami kerana tak tahu selama ni awak ada penyakit barah" kata Mukmin dengan nada penuh sayu. Bapa Mukmin yang memerhatikannya dari tadi turut melinangkan air mata. Suasana sangat memilukan. Ah Chong tidak sedar. Dia bernafas menggunakan alat sokongan pernafasan sahaja. Dia tidak kenal rakan karibnya dan dia tidak dengar rintihan mereka berdua. Dia sedang tenat. Mukmin memegang tangan Ah Chong dan memicit-micitnya, sambil air matanya mengalir bagai mutiara putus dari talinya. Siva memerhati dari belakang. Mukmin berlari keluar dan terduduk di luar pintu bilik. Siva berlari mendapatkannya. Mereka berpelukan dan meraung. Bapa Mukmin merapati dan memegang bahu mereka berdua. "sudahlah, sabar sahaja dan kita doakan dia selamat" katanya. Mukmin memeluk ayahnya dan Siva pula memeluk Mukmin.

Sebentar kemudian kelihatan ibu bapa Siva melangkah menuju bilik tersebut. Melihat ibu bapanya datang, Siva terus meluru ke arah mereka dan memeluk erat ibunya. "Ah Chong sakit tenat. Dia ada barah otak" katanya teresak-esak. Ibunya memeluk Siva dan mengusap rambutnya dengan penuh kasih sayang dan simpati. Kesemua ibu bapa mereka tahu mereka berkawan baik sejak tahun dua hingga sekarang mereka di tahun lima sekolah di taman perumahan tersebut. Persahabatan tersebut merapatkan pula hubungan kesemua ibu bapa mereka.Seminggu kemudian kelihatan Mukmin dan Siva duduk bersandar dan termenung di bawah pokok di hujung padang permainan tempat mereka bertiga sering berkumpul. Kini hanya tinggal dua sahabat karib sahaja.

Pemergian Ah Cong amat dirasai oleh dua sahabat itu. Ah Chong seorang sahabat yang baik, ikhlas dan jujur. Dia bijak dalam bidang Matematik dan selalu menunjukajar Mukmin dan Siva. Mereka sering bersama-sama menyiapkan kerja sekolah. Mukmin akan mengajar mereka berdua Bahasa Melayu dan Sejarah manakala Siva handal dalam matapelajaran Sains. Kini, segalanya tinggal kenangan. Kegembiraan dulu pastinya tidak akan dinikmati lagi. Namum, hidup dan perjuangan harus diteruskan. Mereka bertiga sering bercita-cita untuk menyertai pasukan bola sepak remaja Malaysia. Mereka sering berlatih bersungguh-sungguh. Itulah hasrat mereka. "Siva, walaupun Ah Chong telah pergi, kita mesti teruskan. usaha kita menyertai pasukan bola sepak remaja." kata Mukmin memecahkan kesunyian. "Ya, saya juga fikir begitu. Demi sebuah persahabatan, kita mesti sampaikan hajat rakan kita itu" kata Siva penuh semangat. Mereka bangun dan terus menuju ke tengah padang sambil mula menendang bola.

Sumber: Utusan Malaysia 31 Oktober 2006

No comments: