Sunday, October 26, 2008

7 Petua Memikat Hati Rakan

1. Timbulkan rasa minat dalam diri anda untuk mengetahui tentang cerita dan kisah kawan-kawan anda. Apa yang perlu anda lakukan?

Wujudkan rasa minat yang ikhlas dalam hati anda mengenai kawan-kawan anda. Jika anda mahu orang lain berminat dengan apa yang anda mahu katakan, anda juga mesti berminat dengan apa yang orang mahu ceritakan. Ada satu pepatah dalam dunia perniagaan yang berbunyi, “Unless you love everybody, you cannot sell to anybody.” Maksudnya lebih kurang, anda tidak akan dapat menjual kepada sesiapa yang anda tidak suka/tidak berminat.

Apabila kawan-kawan anda bercerita, tahan diri anda daripada membuka cerita anda yang mungkin lebih hebat daripada cerita mereka. Anda boleh buka cerita anda pada masa yang lain. Biarkan kawan anda menyerlah.

Tanya dengan lebih lanjut mengenai cerita kawan anda tadi. Jika dia bercerita tentang lawatan ke zoo negara, tanya dengan lebih lanjut tentang pengalamannya di sana, tentang haiwan yang dilihat dan tentang aktiviti yang dilakukannya. Ini akan menaikkan lagi semangat kawan anda untuk bercerita kepada anda.

Senyum dan angguk. Jangan dengar cerita kawan anda seperti patung yang tidak bergerak. Ini menampakkan seolah-olah anda merasa sangat bosan. Senyum atau ketawa apabila ada pengalaman yang mencuit hati. Angguk kepala anda sekali sekala untuk menunjukkan anda faham apa yang kawan anda ceritakan.

Duduk atau berdiri dalam keadaan seseorang yang sedang minat mendengar sesuatu. Jika anda sedang menonton satu cerita yang anda sangat suka, bagaimana cara anda duduk atau berdiri? Ya, gunakan cara duduk atau berdiri itu apabila anda mendengar cerita kawan-kawan anda.

2. Anda perlu menghargai apa-apa sahaja pertolongan atau pemberian kawan-kawan anda. Apakah yang perlu anda lakukan untuk menunjukkan bahawa anda menghargai apa yang diberi?

  • Pertama, apabila kawan-kawan anda beri anda sesuatu, berhenti daripada melakukan apa yang sedang anda lakukan dan lihat kepada apa yang kawan anda berikan.
  • Kedua, belek sedikit apa yang kawan anda beri, senyum dan kata terima kasih kepada kawan anda tadi.
  • Jangan berhenti di situ sahaja. Katakan sesuatu yang menunjukkan bagaimana apa yang diberi itu boleh membantu anda. (jangan lupa senyum).
  • Jika anda mahu buat sahabat anda lebih merasa dihargai, tanya lebih lanjut mengenai sesuatu yang telah diberikannya tadi.

3. Senyum. Persoalannya, bagaimana mahu senyum jika anda selalu ada masalah? Bila anda ada masalah, anda akan mudah bermasam muka. Apabila anda bermasam muka, anda akan rasa sedih dan marah. Ini akan membuat lebih ramai lagi kawan-kawan menjauhi anda. Jalan penyelesaian yang mudah ada sebenarnya. Begini:

  • Jika anda sedang dilanda masalah dan mula merasa sedih, cuba anda senyum. Senyum betul-betul seperti anda sedang merasa gembira.
  • Sambil anda senyum, wujudkan rasa gembira di dalam diri anda. Bayangkan satu situasi di mana anda merasa gembira dan seronok. Kekalkan imaginasi yang menggembirakan itu sepanjang anda tersenyum tadi.
  • Bergerak seperti orang yang sedang gembira. Mulai hari ini, lihat di sekeliling anda. Lihat bagaimana orang yang sedih bergerak dan bagaimana pula orang yang sedang gembira bergerak. Tiru pergerakan orang yang sedang gembira dan anda akan rasa perasaan yang sama.

4. Bercakap hanya tentang perkara yang baik mengenai kawan-kawan anda.

  • Amalkan cara berfikir yang positif,lihat kepada perkara yang baik dalam sesuatu kejadian. Apabila anda selalu mencari, melihat dan berfikir tentang perkara yang baik, anda akan mula bercakap tentang perkara-perkara yang baik. Jika anda ternampak sesuatu yang baik di dalam diri kawan-kawan anda, puji mereka. Dalam waktu yang sama, tanamkan azam dalam diri anda untuk mempunyai sifat yang baik itu juga.
  • Jika anda berada di dalam kumpulan yang sedang mengumpat dan mengutuk, cadangkan topik lain untuk dibincangkan jika anda mampu. Jika anda tidak mampu mengubah topik negatif yang sedang dibincangkan, minta diri dan tinggalkan kumpulan itu hingga mereka mengubah topik yang lebih baik. Anda perlu ingat, anda adalah apa yang anda fikirkan. Jika anda selalu bercampur dalam perbualan bersifat negatif, anda akan selalu terfikir tentang perkara negatif. Akibatnya, anda juga jadi seorang yang berfikiran dan bersifat negatif.

5. sebut nama mereka dengan baik. Teknik anda perlu gunakan sama ada anda sudah kenal lama dengan kawan anda itu atau anda baru sahaja berkenalan dengannya.

Jika anda sudah kenal lama dengan kawan anda:

  • Sebut nama mereka dengan baik. Kadangkala, kita tidak tahu cara menyebut nama kawan kita dengan betul. Mereka pula malu untuk membetulkan cara kita memanggil mereka. Jadi, jika tidak pasti, tanya mereka bagaimana cara untuk menyebut nama mereka. Contoh mudah, saya ada kawan bernama Farid. Beberapa tahun saya berkawan dengannya saya asyik memanggil namanya Farid, Farid. Cara bunyi saya sebut ‘Rid’ itu sama seperti saya menyebut perkataan (parit). Saya rasa semua orang sebut nama Farid begitu. Tiba-tiba satu hari Farid bercerita kepada saya bahawa ayahnya tidak suka nama Farid dipanggil begitu kerana ia salah.

Cara memanggilnya ialah ‘Rid’ dibunyikan seperti perkataan inggeris ‘read’. Saya pun agak terkejut kerana tidak mengetahui tentang perkara ini. Namun, tidak semua kawan bernama farid mahu disebut nama mereka begitu.

  • Kadang-kadang ada kawan yang dipanggil menggunakan nama gelaran sahaja. Ada yang dipanggil panjang, bulat, rempit, botol,tokan, toyol dan sebagainya. Walaupun kawan kita ini menyahut setiap kali dipanggil dengan nama begitu, ia tidak bermaksud mereka suka nama itu. Jadi anda perlu berhati-hati tidak mengikut apa sahaja yang orang lain gunakan.

Jika anda baru berkenalan:

  • Sebaik-baiknya, anda tanya kawan baru anda ini bagaimana cara untuk menyebut nama mereka. Kadang-kadang mereka tidak selesa dengan nama penuh mereka lalu mereka anda panggil mereka dengan nama ringkas atau pendek. Ikut sahaja asalkan nama itu bukan bermaksud yang terlalu tidak baik. JIka dia menyuruh anda memanggilnya dengan nama tidak baik, mungkin anda boleh nasihatinya dengan memberitahu akibat buruk jika menggunakan nama yang tidak elok. Nama adalah satu doa. Jika anda menggunakan nama yang tidak elok maksudnya, ia seolah-olah anda mendoakan sesuatu yang tidak elok juga.
  • Gunakan nama kawan anda itu selalu apabila bercakap dengannya. Jika nama beliau Ali, selalu gunakan nama itu dalam ayat anda. Contohnya, “Ali, awak ada kenal tak……”, “Ali, awak berasal dari……” dan sebagainya. Ada dua kesan bila anda bercakap begini. Pertama, ia kelihatan lebih mesra dan sopan. Jadi ia boleh merapatkan hubungan anda dengannya. Kedua, anda akan mudah ingat namanya dengan cepat. Tentu anda ada pengalaman berkenalan dengan seseorang dan cepat pula terlupa nama mereka. Dengan sentiasa mengulang nama mereka, anda akan pasti lebih mudah ingat.

6. Sokong cita-cita kawan-kawan anda. Ini bukan bermakna anda berlakon memberikan semangat kepada mereka semata-mata mahu memikat hati mereka. Sokongan anda mestilah ikhlas di mana anda perlu yakin dan percaya bahawa kawan anda tadi boleh mencapai cita-cita mereka.

Sokongan anda ini akan menyebabkan dua perkara terjadi:

  1. Kawan anda tadi akan menghargai anda kerana menyokong cita-citanya. Anda akan menjadi sumber tenaga dan semangatnya untuk berusaha. Selepas ini jika dia ada sesuatu yang baru dalam usaha mencapai cita-citanya, dia akan mencari anda. Dia akan ceritakan kepada anda. Lebih baik lagi, dia pula akan menyokong cita-cita anda. Anda juga akan jadi semakin bersemangat. Akhirnya, hubungan anda berdua menjadi semakin rapat dan akrab.
  2. Apabila anda menyokong kawan-kawan anda, semangat dan kayakinan diri mereka akan bertambah. Mereka akan mula yakin dengan kebolehan diri mereka sendiri lalu mereka berusaha dengan lebih kuat lagi. Anda akan jadi orang yang bertangungjawab di atas kejayaan kawan anda tadi. Bukankah itu sesuatu yang baik untuk dicapai dalam hidup?

Mulai hari ini, dengar dengan teliti cerita kawan-kawan anda mengenai cita-cita dan impian mereka. Beri sepenuh tumpuan dan sokong mereka dengan merasa yakin bahawa mereka akan berjaya. Insyaallah, jika anda bantu kawan anda untuk mencapai kejayaan, kejayaan akan menjadi milik anda juga nanti.

7.Elakkan diri daripada menjadi seorang terlalu sensitif dan mudah kecil hati.

Anda tentu pernah ada kawan yang mudah sangat merajuk, hilang mood dan bersedih. Apa yang anda rasa setiap kali kawan anda ini merajuk walaupun disebabkan perkara kecil sahaja? Tentu anda rasa tidak senang bukan? Ada orang yang terlalu sensitif hingga apabila anda abaikan dia seketika sahaja pun dia boleh jadi marah dan merajuk. Aduhh…. letih kalau nak layan kawan macam ni bukan?

Tidak salah kalau anda hilang mood atau terasa hati sekali sekala tetapi jangan jadikan itu sebagai salah satu identiti anda. Silap sikit merajuk. Silap sikit bersedih. Silap sikit tidak mahu bercakap. Hmmm… kalau anda teruskan berperangai begini, satu hari nanti anda boleh kira berapa ramai kawan-kawan disekeliling anda.

Jadi, mulai hari ini, tabahkan dan kuatkan semangat anda. Jangan hiraukan perkara sangat gurauan remeh temeh kawan-kawan disekeliling anda. Jika hati anda ceria dari dalam, tidak ada sesiapa yang boleh mengganggu keceriaan anda itu

No comments: